Tag: #118Mall

  • 118 Mall SATUKAN JENAMA TEMPATAN DAN ANTARABANGSA DALAM MAJLIS PERHIMPUNAN SULUNG BERSAMA RAKAN NIAGA

    Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd. (PNBMV), Dato’ Ir. Ts. (Dr.) Izwan Ibrahim, menyampaikan ucapan kepada lebih 200 rakan niaga daripada sektor makanan dan minuman (F&B), fesyen, gaya hidup serta pelbagai segmen lain pada Majlis Perhimpunan bersama Rakan Niaga 118 Mall yang julung kali diadakan.

    Lebih 200 rakan niaga berkumpul di Park Hyatt Kuala Lumpur, Aras 98, sempena Majlis Perhimpunan bersama Rakan Niaga 118 Mall yang julung kali dianjurkan. Pertemuan tersebut menjadi simbol komitmen bersama dalam merealisasikan 118 Mall sebagai antara destinasi gaya hidup baharu yang paling dinanti-nantikan di Kuala Lumpur.

    Majlis berkenaan menghimpunkan rakan niaga dan barisan jenama yang bakal memperkayakan pengalaman pengunjung di 118 Mall. Antara rakan niaga utama yang hadir termasuk Village Grocer, pasar raya premium, serta Makanism Foodhall, sebuah destinasi makanan dan minuman (F&B) seluas 44,000 kaki persegi yang bakal mengetengahkan kepelbagaian warisan kulinari Malaysia.

    Dari segi fesyen dan gaya hidup, 118 Mall bakal menampilkan pelbagai jenama popular termasuk adidas, ALDO, Converse, Foot Locker, Guess, Lacoste dan Benjamin Barker. Kepelbagaian pilihan turut diteruskan menerusi barisan F&B seperti CHAGEE Signature, Honolu Ramen, Masala Mansion, Donkai dan Nara Thai, yang dijangka menawarkan pengalaman gastronomi untuk memenuhi citarasa pengunjung daripada pelbagai latar belakang.

    Bagi memenuhi keperluan keluarga dan gaya hidup seharian, 118 Mall turut menghimpunkan jenama seperti Babyshop, Best Denki, BookXcess dan Happikiddo, selain Maybank Premier Banking. Dalam masa yang sama, Malaysian Artisan District (M.A.D) di Aras 3 bakal menjadi ruang untuk mengetengahkan bakat dan kreativiti tempatan menerusi jenama seperti Banglo 289, Batik Boutique, Bayu Somerset dan Cookiecrumbs, sekali gus memperlihatkan komitmen 118 Mall dalam menyokong keusahawanan serta industri kreatif Malaysia.

    Majlis tersebut turut menjadi platform buat pihak pengurusan 118 Mall menyampaikan penghargaan kepada para rakan niaga atas kepercayaan dan kerjasama yang diberikan. Pada masa sama, para tetamu turut menerima perkembangan terkini mengenai presint Merdeka 118 dan ekosistem bersepadu yang dirangka untuk mewujudkan nilai jangka panjang serta peluang pertumbuhan yang mampan kepada perniagaan yang beroperasi di 118 Mall.

    Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad (PNBMV), Dato’ Ir. Ts. (Dr.) Izwan Ibrahim berkata, visi 118 Mall melangkaui pembangunan sebuah destinasi beli-belah semata-mata kerana ia merupakan komponen penting dalam ekosistem presint Merdeka 118 yang menghubungkan pengalaman membeli-belah, hospitaliti, warisan, pelancongan dan budaya dalam sebuah destinasi yang saling melengkapi.

    Menurut beliau, kekuatan utama 118 Mall terletak pada ekosistem presint Merdeka 118 secara keseluruhan. Lokasinya yang strategik berpotensi menarik pelbagai kelompok pengunjung, termasuk pelancong, tetamu hotel mewah, golongan profesional korporat dan komuniti setempat, sekali gus membuka peluang kepada rakan niaga dan penyewa untuk membina pertumbuhan perniagaan yang mampan dalam jangka panjang.

    (Tengah) Puan Sue Wang, Ketua Peruncitan 118 Mall, bersama barisan pasukan pengurusan 118 Mall, berkongsi keterujaan menjelang pembukaan 118 Mall.

    Ketua Peruncitan 118 Mall, Puan Sue Wang pula berkata, keistimewaan 118 Mall terletak pada kepelbagaian pengalaman yang dihimpunkan di bawah satu bumbung. Menurut beliau, pusat beli-belah itu direka sebagai sebuah destinasi yang menggalakkan pengunjung meneroka, menikmati, berhibur serta menghayati keunikan Malaysia dan pengalaman antarabangsa melalui sajian, fesyen, rekaan, seni dan kebudayaan.

    (Kiri) Puan Sue Wang dan (Tengah) Dato’ M. Krishnan bersama rakan-rakan niaga runcit yang lain pada Majlis Perhimpunan bersama Rakan Niaga 118 Mall, menandakan satu lagi pencapaian penting menuju pembukaan 118 Mall.

    Beliau turut mendedahkan bahawa 118 Mall menyasarkan sehingga 22 juta pengunjung pada tahun pertama operasinya, didorong oleh kelebihan ekosistem presint Merdeka 118. Dengan komitmen untuk menarik kunjungan secara berterusan, 118 Mall berharap dapat mewujudkan nilai komersial yang mampan kepada semua rakan niaga dan penyewa.

    Selain sesi perkongsian, majlis tersebut turut memberikan peluang kepada rakan niaga untuk berinteraksi dan membina jaringan bersama penyewa lain serta pihak pengurusan 118 Mall. Mereka turut menerima maklumat eksklusif mengenai perancangan pemasaran dan promosi, termasuk peluang memanfaatkan paparan kandungan kreatif menerusi skrin anamorfik di Aras 4 serta ruang acara serba guna untuk melaksanakan aktiviti pengaktifan jenama dan pengalaman interaktif.

    Dengan gabungan jenama tempatan dan antarabangsa, kepelbagaian pilihan runcit serta integrasi bersama ekosistem Merdeka 118, 118 Mall bersedia untuk tampil sebagai destinasi gaya hidup yang menawarkan pengalaman menyeluruh kepada pengunjung. Kerjasama erat bersama rakan niaga dan penyewa dilihat menjadi antara asas penting dalam merealisasikan visi pusat beli-belah tersebut sebagai sebuah destinasi dinamik yang menghubungkan komuniti, perniagaan, budaya dan gaya hidup.

    Ketahui lebih lanjut https://118mall-kl.com.

  • 118 Mall Bakal Menjadi Lokasi Cawangan Premium Pertama Decathlon di Malaysia

    Dato’ Ir. Ts. Izwan Hasli Mohd Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures, menyampaikan ucapan alu-aluan kepada delegasi Decathlon APAC sambil berkongsi perkembangan serta visi pembangunan presint Merdeka 118 sempena lawatan rasmi mereka.

    KUALA LUMPUR, 10 Jun 2026 — Menjelang pembukaannya yang dinanti-nantikan tahun ini, 118 Mall terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi gaya hidup baharu di tengah ibu negara dengan mengumumkan kehadiran cawangan premium pertama Decathlon di Malaysia. Terletak di presint ikonik Merdeka 118, pembukaan gedung ini dijangka menjadi antara tarikan utama pusat beli-belah tersebut, sekali gus menawarkan pengalaman membeli-belah sukan yang lebih moden, interaktif dan eksklusif kepada pengunjung.

    Bagi menandakan perkembangan penting ini, 118 Mall baru-baru ini menerima kunjungan khas delegasi Decathlon dari seluruh rantau Asia Pasifik (APAC). Lawatan yang menghimpunkan wakil dari Thailand, Kemboja, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Korea, Malaysia, Filipina, Singapura, Taiwan dan Vietnam itu memberi peluang kepada mereka meninjau sendiri pembangunan 118 Mall serta lokasi cawangan utama Decathlon yang bakal beroperasi di pusat beli-belah berkenaan.

    Foto berkumpulan delegasi Decathlon APAC bersama wakil PNB Merdeka Ventures dan pasukan 118 Mall sempena lawatan rasmi serta sesi tinjauan di sekitar 118 Mall.

    Cawangan baharu seluas 22,000 kaki persegi yang terletak di Aras 2 itu akan menjadi projek premium pertama seumpamanya bagi Decathlon Malaysia serta berfungsi sebagai gedung legasi jenama tersebut. Konsep yang diperkenalkan menggabungkan elemen sukan, gaya hidup dan komuniti dalam satu ruang yang direka untuk memberikan pengalaman membeli-belah lebih menyeluruh kepada pelanggan.

    Menariknya, reka bentuk cawangan ini turut mengetengahkan identiti Malaysia menerusi inspirasi motif Songket pada ruang dalaman, dipadankan dengan fasad moden yang memberikan suasana premium. Selain menawarkan pelbagai kelengkapan sukan, pelanggan juga boleh menikmati perkhidmatan nilai tambah seperti cetakan dan ukiran khas serta pemasangan tali raket bagi badminton, tenis dan sukan lain.

    (Kanan) Dato’ Ir. Ts. Izwan Hasli Mohd Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures, bersama Frederic Bichet, Ketua Decathlon APAC, ketika sesi tinjauan di 118 Mall.

    Lebih daripada sekadar gedung peralatan sukan, cawangan ini diwujudkan bagi menggalakkan gaya hidup aktif serta memperkukuh hubungan komuniti melalui pelbagai pengalaman interaktif. Pada masa sama, ia mengintegrasikan keupayaan omnichannel Decathlon, membolehkan pelanggan mengakses rangkaian produk dan perkhidmatan yang lebih luas, sama ada di premis fizikal mahupun secara dalam talian.

    Pengarah Keahlian dan Peneraju Projek Cawangan 118 Mall, Decathlon Malaysia, Adlyna Azmi berkata pembukaan cawangan premium itu melambangkan evolusi baharu jenama berkenaan di Malaysia dengan menggabungkan inovasi, identiti tempatan dan pengalaman sukan yang lebih menarik. Beliau turut menyifatkan pembukaan cawangan ke-37 Decathlon di negara ini sebagai satu pencapaian penting, selain berbangga menjadi sebahagian daripada pembangunan ikonik Merdeka 118.

    Delegasi Decathlon APAC ketika sesi tinjauan di 118 Mall.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad, Dato’ Ir. Ts. Izwan Ibrahim menyifatkan kehadiran Decathlon sebagai antara penyewa utama yang bakal memperkayakan pengalaman pengunjung di 118 Mall. Menurut beliau, pusat beli-belah tersebut bukan sahaja menawarkan pengalaman membeli-belah, malah menjadi destinasi yang menggabungkan elemen gaya hidup, budaya dan komuniti dalam suasana yang unik serta berbeza daripada pusat beli-belah lain di Kuala Lumpur.

    Dengan kerja-kerja pengubahsuaian premis oleh para penyewa kini sedang giat dijalankan, 118 Mall semakin menghampiri fasa pembukaannya kepada orang ramai. Kehadiran jenama-jenama terkemuka seperti Decathlon dijangka mengukuhkan lagi status 118 Mall sebagai destinasi gaya hidup bertaraf dunia yang menawarkan pengalaman membeli-belah, rekreasi dan komuniti dalam satu lokasi ikonik di Malaysia.